Dec 10, 2009

Tauhid Tiga Serangkai...?: Yayasan Sofa, Institut Al-Qayyim dan Ustaz Kamil Halim

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.

Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra' (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.

Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?

Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.

Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: "Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang". (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

"Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT".

Mereka juga menyatakan: "Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain". (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.

Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.

Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda' r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

..................................................................................

Oleh PANEL PENYELIDIKAN INSTITUT AL-QAYYIM

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.


Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

..................................................................................

Oleh Ustaz Kamil Halim

Untuk beberapa minggu , pihak akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Relung Cahaya pada setiap hari Isnin menyiarkan perbahasan tauhid tiga serangkai yang dihasilkan oleh pihak Panel Penyelidikan Yayasan Sofa ( atau singkatannya PPYS), Negeri Sembilan. Setelah mengikuti tulisan-tulisan berkenaan, saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan. Diharap pandangan yang bakal saya tampilkan akan diberi perhatian , dibuat kajian lanjutan oleh pihak PPYS . Jika tidak , maka tidak berbaloilah saya menghabiskan masa menulis artikel ini.

Pihak PPYS cuba menafikan sekeras-sekerasnya kewujudan tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat atas kaedah pembahagian kepada tiga bahagian dengan alasan tiada dalil syarak dari Al Quran , hadis nabi dan athar para sahabat yang menyebut begitu. Benarkah begitu? Jika mahu dicari dalil secara khusus ( spesifik) sudah tidak dijumpai dalilnya. Begitu juga jika mahu dicari dalil bahawa sifat Allah Taala hanya 20 sifat sahaja maka tidak akan dijumpai dalilnya. Jika mahu dicari dalil bahawa hadis Nabi dibahagikan kepada tiga bahagian ( hadis sohih, hasan dan dhaif ) maka tidak dijumpai dalilnya. Dari mana datang nama-nama dalam hukum-hukum tajwid? Dari mana datangnya ilmu usul feqh ? Dari mana datangnya ilmu usul hadis, ilmu usul tafsir dan sebagainya.

Sebagai contoh lebih jelas, Rassulullah sa.w. tidak pernah mengajar para sahabat hukum tajwid seperti hukum idgham , hukum mad, hukum ikhfa’ dan sebagainya. Namun ianya bukanlah satu perkara baru yang dilarang kerana hanya bersifat sebagai perantaraan ( wasilah) dalam memahami ilmu dalam rangka membawa kita memahmi maksudnya (maqasid). Banyak lagi contoh-contoh lain dalam pelbagai pembahagian bidang ilmu yang tidak akan dijumpai dalil secara khusus .


Apa yang perlu kita sama-sama fahami, pembahagian- pembahagian ini berlaku dari sudut BAHASA sahaja sebagai satu bentuk penjenamaan yang memudahkan pemahaman terhadap apa yang dipelajari hasil dari perkembangan ilmu akibat peralihan zaman.

Kembali kepada persoalan tauhid tiga serangkai . Walaupun secara spesifik penjenamaan itu tidak wujud zaman generasi terawal iaitu di zaman Rasululllah s.a.w. dan para sahabat, tetapi sesiapa yang mengkaji secara mendalam dari sudut bahasa antara Rab ( رب ) dan perkataan Ilah ( إله ) berdasarkan kamus Arab atau mu’jam , maka perbezaan dapat dilihat dengan jelas. Kenapakah ayat pertama Al-Fatihah ia berbunyi ( Alhamdulillah Rabbil Alamiin) didatangkan perkataan Rab, tetapi dalam kalimah tauhid ( syahadah) kita diajar menyebut ( La Ilah Ilallah ) dengan didatangkan perkataan Ilah.

Di zaman generasi terawal, pembahagian seperti ini tidak perlu, kerana pemahaman terhadap perkara ini berlaku secara mudah dan para sahabat memahami berdasarkan penggunaan bahasa Arab. Oleh kerana tidak ada keperluan yang mendorong kepada pembahagian itu pada zaman berkenaan maka pembahagian itu tidak wujud secara formal atau tersurat, sekalipun ianya memang wujud secara tersirat. Pembahagian ini hanya sekadar memenuhi kemaslahatan dari sudut pemahaman ilmu. Jika mahu dikatakan pembahagian ini ( secara penjenamaan khusus) sebagai satu bid’ah , maka ia dianggap bid’ah dari sudut lughah sahaja ( bahasa). Apa yang penting bukan soal nama, tetapi maksud dan pengertian yang tersirat disebaliknya. Jika mahu dibuang penjenamaan tauhid rububiyyah , tauhid uluhiyyah dan tauhid asma wasifat bermakna kita juga perlu membuang penjenamaan lain yang tiada dalil khusus seperti hukum nun mati dan tanwin dalam subek tajwid, pembahagian sifat-sifat Allah kepada sifat ma’ani, maknawiyah, nafsi dan salbiyah ( berdasarkan manhaj Asya’irah) dan pelbagi lagi contoh lain.
Kaedah ini disusun berdasarkan keperluan dari sudut masolih mursalah dari subjek usul fekh.

Agak menghairankan apabila pihak PPYS mengemukakan soalan apakah terdapat perbezaan antara tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah ? Diminta buat penyelidikan terhadap tafsiran ayat berikut :

1 ) Untuk tauhid Rububiyyah sila lihat contoh ayat-ayat berikut : Surah Al-Mukminun ayat 84-89, Surah Ar Ra’du ayat 16, Surah Luqman ayat 25, Surah Al Ankabut 61-65.

2) Untuk Tauhid Uluhiyyah sila lihat ayat ayat berikut : Surah Al-Baqarah ayat 21, Surah Al Zumar ayat 14 -15 ,Surah Al Bayyinah ayat 5 ) .

Ayat-ayat di atas hanya sekadar contoh sahaja. Banyak lagi ayat-ayat lain yang boleh dijadikan rujukan dan kajian.

Benarkah Ibn Taimiyyah pencipta kaedah tauhid 3 serangkai ?

Dakwaan pihak PPYS bahawa Ibn Taimiyyah ( w. 728H) adalah pereka kepada bid’ah tauhid tiga serangkai tidak benar. Pihak PPYS disyorkan meluaskan lagi penyelidikan terhadap banyak lagi kitab-kitab turath lain yang mudah diperolehi di zaman IT ini. Jika tidak dijumpai dikedai-kedai buku, carilah dalam internet atau kitab secara e-book.

Antara tokoh terdahulu yang telah memperkatakannya ialah :

1 ) Al-Imam Abi Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Battah Al-Akbariy , meninggal tahun 387 H di dalam kitab Al-Ibanah ‘An Syariah Al Firqah An Najiah Wa Mujanabah Al Firaq Al Mazmumah . Dalam teks kata-kata belaiu , antara lain ..

“ …. Bahawa Asal Iman kepada Allah yang wajib atas sekelian makhluk beri’tikad dengannya dalam mengisbatkan iman adalah tiga perkara :

Pertama : Bahawa seorang hamba beri’tiqad akan sifat ketuhanannya ( rububiyyah) agar jadilah perkara itu satu perbezaan dari mazhab ahl at ta’til yang tidak mengisbatkan adanya pencipta.

Kedua : Bahawa seorang hamba beri’tiad akan keesaanNya ( uluhiyyah) agar jadilah ia satu perbezaan dari golongan ahli syirik yang mengakui kewujudan pencipta ( Allah ) tetapi melakukan syirik dalam amalan ibadah mereka.

Ketiga : Bahawa seorang hamba beri’tiqad bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang tidak haruslah Dia melainkan bersifat dengan sifat seperi ilmu, qudrat, hikmah dan semua sifat yang Dia sifatkan didalam kitabNya.”
Seterusnya beliau menyebut sebagai sambungan : “ Kerana kita dapati Allah Taala telah memerintahkan hambaNya kepada I’tiqad dengan setiap satu dari tiga perkara ini dan beriman dengannya.” Tiga perkara yang dimaksudkan oleh Ibn Battah di sini ialah tauhid rububiyyah , uluhiyyah dan asma wa sifat.

2 ) Al Imam Al Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Ishaq bin Yahya Bin Mandah , meninggal tahun 395 H . Di dalam kitab beliau “ Kitab At Tauhid Wa Makrifatu Asma Allah Azzawajalla Wasifati ‘Alal ittifaq Wal iftiraq “ > . Di dalam kitab beliau menjelaskan beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid rabubiyyah, beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid uluhiyyah dan beberapa tajuk lain berkaitan tauhid asma’ wa sifat. Apa yang lebih menarik, di dalam muqaddimah kitab ini Ibn Mandah menyebut bahwa Al-Imam Abu Yusof ( w. 182H) yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Abu Hanifah ( w. 150) turut memperkatakan pembahagian tauhid ini semasa kurun kedua lagi .

Sangat menarik sekali bahawa Al-Imam As Syafie secara lisan yang tersirat mengakui kewujudan tauhid uluhiyyah melalui kata-kata beliau “… inilah hakikat tauhid “ dalam satu riwayat dari Imam Al Muzani yang dikemukakan oleh Al-Imam Az Zahabi didalam Siyar I’lam An Nubala’ jilid 10 m.s. 26, terbitan Muassasah Ar Risalah Beirut, Lubnan. Harap pihak PPYS memiliki kitab setebal 23 jilid ini dan membuat rujukan kepadanya.

Tindakan pihak PPYS membesar-besarkan nama Ibn Taimiyyah Rahimahullah sebagai pereka kepada tauhid tiga serangkai sekadar meneruskan agenda pihak yang sudah lama memusuhi Ibn Taimiyyah . Adalah tidak adil sekiranya kita menilai sesuatu permasalahan berdasarkan pandangan pihak yang kita cenderung kepadanya, tanpa melihat hujah-hujjah pihak lain yang kita tidak bersetuju dengannya. Di dalam dunia Islam masa kini, golongan generasi muda yang prihatin dengan perkembangan ilmu Islam, mengambil sikap menilai secara adil dan saksama segala kemelut yang berlaku. Tokoh seperti Muhammad Zahid Al Kauthari dari Negara Turki bermazhab Hanafi dan Hasan Ali As Saqaf dari Jordan antara tokoh yang kuat mengkritik Ibn Taimiyyah dan menentang keras pembahagian tauhid 3 serangkai. Apa yang memusykilkan saya ialah kenapa kaedah mengenali Allah melalui sifat 20 tidak pula diperbesarkan oleh pihak PPYS. Pada hal Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar para sahabat dan kita semua , bahawa Allah hanya memiliki 20 sifat sahaja.

Perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian oleh pihak PPYS ialah ancaman ilmu kalam terhadap kemurniaan sistem pembelajaran ilmu tauhid. Sejarah membuktikan bahawa Al Imam As Syafie tokoh yang paling kuat menentang ilmu kalam dan penggunaannya dalam subjek akidah.

Dakwaan bahawa tauhid 3 serangkai menjadi sebab berlaku pergolakan di Negara timur tengah memerlukan kepada bukti yang jelas dan tepat. Benarkah berlaku tindakan mengkafirkan ke atas pihak yang mengengkari tauhid 3 serangkai ini?? Atau ia andaian yang dibuat kerana salah faham .

Benarkah dakwaan tauhid 3 serangkai penyebab keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah? Semua persoalan di atas perlu dibuktikan dengan dinyatakan bahan rujukannya secara adil dan telus. Tanpa rujukan dari sumber yang boleh dipercayai, ia hanya tinggal satu dakwaan kosong . Ini kerana banyak dakwaan pihak PPYS tidak disertakan bersama bahan rujukannya, nama penulis dan penerbitnya.

Adakah pihak PPYS telah membuat kajian secara adil dan seimbang ?/ Atau sekadar menceduk hujah dan fakta dari tukang-tukang fitnah yang sudah sekelian lama memusuhi Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab ( Wahabi) ? Saya lebih suka mengambil sikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya suka melihat, memerhati, mengkaji kesemua pandangan. Kemudian minta petunjuk kepada Allah agar ditunjukkan yang sebenarnya.

Benarkah semua tokoh ulamak Al Azhar menolak konsep tauhid tauhid 3 serangkai ? Jika benar Mufti Mesir menolaknya, nilailah secara adil hujjah dan alasan-alasan beliau. Lihatlah hujjah dan dalil yang dikemukakan berdasarkan prinsip ilmu, manhaj yang tepat bukannya kapasiti seseorang individu dengan jawatan yang dipegangnya. Mungkin beliau ada alasan tersendiri yang boleh diterima . Bukanlah saya bermaksud mengatakan pandangan ulama’ yang menolak pembahagian tauhid 3 serangkai tidak berdasarkan prinsip ilmu atau terkeluar dari manhaj yang betul, mungkin perbezaan berlaku dari sudut kaedah istidlal dan arah pandangan yang berbeza skopnya. Perlu juga disemak dan dikaji pandangan ulamak lain kerana dunia Islam ini sangat luas . Umat Islam dan para ulama’nya ada di mana-mana.

As Syaikh Al Allamah Bakar Abu Zaid Hafizahullah berkata : { Pembahagian ini secara istiqra’ ( kajian pemerhatian) di sisi generasi salaf telah diisyaratkan oleh Ibn Mandah, Ibn Jarir At Tobari, diakui oleh Ibn Taimiyyah , Ibn Al Qayyim , diakui oleh Az Zabidi didalam Tajul Arus, guru kita Syaikh Al Amin As Syanqiti di dalam kitab tafsirnya Adwa’ Al-Bayan , Ia merupakan satu istiqra’ yang lengkap terhadap nas-nas syarak , diguna pakai di sisi ahli setiap cabang ilmu sebagaimana istiqra’ ulama’ nahu terhadap bahasa Arab , membahagikannya kepada isim (kata nama), fiil( kata kerja) dan haraf ( kata penghubung). Tiada seorang pun mencela ulama’ nahu atas pembahagian ini ( isim , fiil dan haraf) . demikianlah semua jenis istiqra’ } . Dipetik dari At Tahzir Min Mukhtasar As Sobuni Fi Tafsir .

Saya mengajak diri saya dan pihak PPYS agar perbahasan masalah ilmu dibahaskan secara penuh keinsafan , adil, berbaik sangka kepada semua pihak . Janganlah rasa kebencian kepada pihak tertentu mendorong kita berlaku tidak adil kepada mereka. Allah mengingatkan hal ini dalam ayat : “ Janganlah kebencian kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adillah, kerana ia menghampirkan kepada taqwa….” Surah Al Maidah ayat 8 .

Kaedah Tauhid 3 serangkai bukan sesuatu yang baru di negara kita sebagaimana yang disangka pihak PPYS. Mungkin bagi pihak yang tidak terdedah kepada pendekatan pengajian sebegini merasakan ianya sesuatu yang ganjil dan baru. Semasa menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh sekitar awal 80-an , saya pernah mengikut program usrah yang mengguna pakai buku Risalah Usrah susunan Abu Urwah. Di dalamnya disebut pembahagian tauhid 3 serangkai dan penjelasan maksud setiap satunya dengan jelas. Tiada masalah untuk memahaminya. Buku berkenaan masih ada dalam simpanan saya.

Persoalan adakah orang beriman juga akan terlibat dengan syirik ? Berdasarkan dalil dari Qur’an dan hadis Nabi , jawapannya ya . Lihat tafsiran ayat 106 surah Yusuf . Syirik yang dimaksudkan di sini ialah syirik yang tidak membawa kepada rosaknya agama seseorang ( syirkun duna syirkin ). Termasuklah di dalamnya beramal secara riya’ ( menunjuk-nunjuk). Contoh dari hadis ialah “ Sesungguhnya jampi mentera, tangkal azimat dan ilmu guna-gunaan perbuatan syirik “ Sunan Ibn Majah no : 3530.

Orang-orang beriman yang sempurna tauhidnya kepada Allah , berusaha menjauhi segala unsur-unsur syirik dengan sejauh-jauhnya. Inilah yang disebut oleh Allah dalam ayat 82 Surah Al An’aam. “ Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan keimanan mereka dengan syirik, merekalah yang mendapat keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk. ”

Rasulullah s.a.w. mengajar sebuah doa yang berbunyi : “ Ya Allah ! Aku berlindung denganMu dari perbuatan menyengutukanMu dengan sesuatu pada hal aku mengetahuinya, dan aku mohon keampunan terhadap perbuatan syirik yang aku tidak ketahuinya” Hadis Riwayat Imam Ahmad .

Pihak PPYS mempersoalkan kenyataan yang disebut datang dari Ibn Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya berbunyi :

1 ) Orang musyrik yang menyengutukan Allah adalah ahli tauhid secara tauhid rububiyyah .

Jawapan ; Orang musyrik zaman jahiliah mengakui Allah sebagai pencipta langit dan bumi, namun mereka menyenkutukan Allah dalam ibadah dengan menjadikan berhala sebagai perantaraan. Dalilnya boleh dilihat pada ayat : 61 Surah Al Ankabut. Juga Surah Az Zumar ayat 2 .

Dalam keadaan terdesak dan tertekan , golongan musyrik akan berdoa kepada Allah bukan kepada berhala yang mereka sembah . Namun apabila hilangnya kesusahan mereka kembali kepada keadaan asal ( syirik). Dalilnya dalam ayat 40-41 Surah Al-An’aam. Lihat juga Surah Yunus ayat 22-23.

2 ) Persoalan tawassul , istighasah dan tabbaruk mempunyai perincian tersendiri. Tawassul ada yang dibenarkan , ada yang tidak dibenarkan berdasarkan pendekatan yang digunakan. Istighasah sememangnya menyalahi nas Al – Quran termasuk konsep tauhid dalam ayat 4 surah Al-Fatihah “ Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau kami minta pertolongan “.

Kehairanan PPYS bahawa kenyataan sebegini tidak ditemui dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini Di Malaysia, menggambarkan pengajian ilmu tauhid di Malaysia ketinggalan zaman dan masih berada ditakuk lama. Perbahasan tauhid hanya terhad kepada menghafal sifat dua puluh dan beberapa perkara yang dibahaskan dalam mazhab Asya’irah , Maturidiyyah. Namun, di peringkat antarabangsa, terutama peringkat universiti di dunia Islam pengajian ilmu tauhid termasuk juga pengajian ilmu feqh dibuat secara muqaranah (perbandingan). Perbandingan ini mencakupi mazhab –mazhab lain seperti jahmiyyah, muktazilah, syi’ah, qadariyyah, jabariah , khawarij dan lain-lain.

Rujukan bukan setakat kepada kitab-kitab tauhid sahaja bahkan terus kepada meneroka khazanah ilmu tauhid dari sumber asal iaitu Al Qur’an dan As Sunnah. Di dalam sahih Bukhari terdapat bahagian khusus hadis-hadis yang dihimpunkan dalam bab kitab at tauhid .

Kitab-kitab tauhid yang ditulis di zaman awal Islam turut dikaji seperti Al Fiqh Al Akbar oleh Imam Abu Hanifah, Kitab At Tauhid dan Sifat Ar Rab oleh Imam Ibnu Khuzaimah, Yang paling muktamad dalam menerangkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah kitab Syarah Usul I’tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah Min Kitab Wa Sunnah oleh Al Hafiz Abi Qasim Hibbatullah bin Al Hasan bin Mansur Al Lalakai wafat tahun 418H.

Berdasarkan kajian dan analisa oleh Ustaz dr. Ismail Lutfi Al Fatoni di dalam buku beliau Hakikat Ahli Sunnah Wal Jamaah dan peranan ulamanya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan , terdapat 72 buah kitab tauhid bermanhaj as salaf yang ditulis dari pertengahan kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun ketujuh iaitu sebelum zaman wujudnya Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab. Jika pihak PPYS mengkaji kitab-kitab berkenaan, akan terjawablah persoalan bahawa kenyataan yang didakwa kononnya dari rekaan dan ciptaan Ibn Taimiyyah sebenarnya adalah andaian pihak PPYS sendiri.

Sukalah saya mengingatkan pihak PPYS , dalam dunia era globalisasi masa kini , perkembangan ilmu dan maklumat berlaku dengan begitu cepat sekali. Justeru itu, berhati-hatilah dalam membuat telahan terhadap sesuatu permasalahan. Pihak lain juga membuat kajian dan penyelidikan . Seandainya fakta dan maklumat yang disampaikan ada kelemahan dan kecacatan, pihak lain yang mengkajinya akan mengesan dengan cepat.

Kepada Allah Jua dipohon petunjukNya. Maaf dipohon sekiranya ada terkasar bahasa. Saya menulis dengan rasa tenang tanpa dipengaruhi emosi.

Walaupun kita tidak sependapat dalam persoalan tauhid tiga serangkai, namun saya mengasihi pihak PPYS atas sifat kita saudara seagama. Ya semua kita bersaudara. Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara. Salam kasih sayang dan salam ukhuwwah.


Ahmad Kamil Abdul Halim
Kota Bharu Kelantan.

..................................................................................

Oleh PANEL PENYELIDIK LAMAN RASMI SYAMIRUL HUZSEINI

Gunakanlah pemikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah untuk memilih yang Haq. Apa-apapun, saya menggalakkan anda untuk menyertai forum Al-Fikrah.net untuk mendalami lagi tentang kekeliruan ini. Ikhlaskanlah hatimu untuk mencari kebenaran. Sila klik sini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails