Halaman

Mar 11, 2015

Catatan Kecil Kembara Mesir 2015

Jika kita baru saja memulakan kehidupan di Eropah, dan ketika itu kita ada kelapangan masa untuk melancong, nama Mesir mungkin saja belum lagi terlintas sebagai tempat utama untuk dilawati. Tetapi itulah keputusan yang diambil.

Tiada perancangan panjang. Hari ini beli tiket, esoknya perlepasan dari Lapangan Terbang Munich (MUC) ke Terminal 3 Lapangan Terbang Kaherah (CAI). 1 Mac 2015. Berseorangan. Penerbangan mengambil masa lebih kurang empat jam.

Lapangan Terbang Munich, Jerman. Binaan pondok putih di bahagian kanan tingkat atas ialah surau.
Sahabat kami Ikraam menyambut di lapangan terbang. Sepanjang kembara rumahnya di kawasan Sayyidah Zainab di Kaherah menjadi antara tempat menumpang. Berbekalkan kata-kata "Jadilah pengembara, bukan sekadar pelancong", maka tempat pertama yang dilawati ialah bumbung rumah, sekadar untuk melihat bagaimana rupa kawasan penempatan di Kaherah.



















Pagi hari dimulakan dengan meminum jus tebu segar dari gerai 'Asir. Gerai ini tidak perlukan ruang yang luas. Hanya 2-3 buah kerusi tanpa meja dan sebuah kaunter membuat jus. Antara jenis jus lain ialah Gawwafah (jambu batu), Butruaal (oren) dan Tamar Hind (asam jawa). Gerai begini mudah ditemui.


Perkhidmatan Metro antara yang menjadi pilihan. Harga tiket ke semua destinasi untuk sekali perjalanan hanya LE 1 bersamaan RM 0.50. Pada waktu-waktu tertentu, keadaan dalam stesen boleh menjadi sangat sesak. Begitu juga dengan keadaan di dalam kereta api.











































Di bawah tangga stesen ini ada serorang kanak-kanak kecil mengucup-ngucup tangan kami untuk meminta sedekah. Mudah juga dilihat kanak-kanak serta golongan remaja yang bekerja, sedangkan waktu itu ialah waktu persekolahan.

Bercakap tentang Metro, terdapat sebuah stesen yang bernama Al Shohadaa. Nama asal bagi stesen ini ialah Stesen Mubarak, merujuk kepada bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak yang telah dijatuhkan. Pada saat ini juga Stesen Sadat yang terletak berdekatan Dataran Tahrir telah dihentikan operasi. Mungkin bagi mengelakkan berlakunya perhimpunan di sana.

Kemudiannya dengan menggunakan perkhidmatan microbus El Tramco, jalan di bandar Kaherah diselusuri sambil dimeriahkan dengan riuh hon kenderaan. Kami tiba di kawasan Giza Necropolis, dengan ditemani oleh jurupandu Ustaz Wasim Akram, pelajar di Universiti Al-Azhar.



Di kawasan Necropolis inilah terletaknya tiga piramid utama yang digelar Piramid-Piramid Agung dan juga binaan terkenal bernama Sphinx Agung Giza. Masyarakat tempatan memanggilnya Abul Hul. Piramid pula dipanggil Al Haram atau kata jamaknya Al Ahram.























Pada asalnya rupa permukaan Piramid Khufu ini licin. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah sebenarnya permukaan binaan dalaman yang sepatutnya disaluti dengan lapisan kemasan. Sisa kemasan ini masih dapat dilihar contohnya pada puncak Piramid Khafre. Dari segi kegunaan, piramid biasanya menjadi makam bagi para Firaun.

























Di sekitar kawasan piramid ada bangunan-bangunan kecil. Tidak ada sebarang papan tanda yang menerangkan perihalnya. Mungkin ini adalah makam-makam. Laluan masuk ke makam-makam ini dibina dengan ketinggian lebih kurang tiga perempat ketinggian manusia. Dikatakan tujuannya adalah supaya orang akan masuk ke dalam makam ini berjalan dalam keadaan tuntuk hormat kepada penghuni makam. Entah. Tetapi kami, seperti pengunjung lain, masuk dengan keadaan mengundur.























Perjalanan diteruskan ke Masjid Amru bin Al-As di kawasan Al-Fustat. Nama masjid ini diambil sempena nama sahabat Nabi  yang menjadi panglima bagi pembukaan Islam di Mesir. Masjid ini dibina di atas tapak kem beliau dan merupakan masjid pertama yang dibina di Mesir. Pada hari ini sudah tidak didapati struktur binaan asal.


 

"Sedekah Jariah ke atas Arwah Haji Hussain Amin. Kami memohon sedekahkan Al Fatihah". Itulah yang tertera pada bangku di dalam masjid ini. Mesin-mesin air minuman juga kelihatan di tepi-tepi jalan, turut menjadi salah satu cara untuk bersedekah jariah.

Destinasi seterusnya ialah Kubu Salahuddin Al-Ayyubi yang terletak di atas Bukit Muqattam. Turut dipanggil sebagai Cairo Citadel. Ia dibina sebagai kubu pertahanan daripada serangan tentera Salib. Di dalam kota ini boleh didapati beberapa buah masjid dan muzium.


Masjid Muhammad Ali Pasha adalah salah satu datipada tiga masjid utama yang berada di dalam kawasan kota ini. Ia menjadi mercu tanda yang terkenal dan mudah dilihat kerana kedudukannya yang tinggi di atas bukit. Terdapat sebuah menara jam pada masjid ini, yang mana keberadaannya mungkin agak luar biasa bagi sebuah masjid.















Dari Kota Salahuddin kami turun ke satu lagi tempat yang menjadi mercu tanda Kaherah iaitu gugusan Masjid Al-Rifai, Masjid Sultan Hasan dan beberapa masjid kecil lain. Kesemua masjid ini terletak sebelah menyebelah.

Keliharan empat buah masjid.


Antara yang menarik perhatian di dalam Masjid Ar-Rifai ialah Makam Raja Farouk, iaitu Raja Mesir yang meninggal dunia dalam buangan di Itali. Beliau telah digulingkan melalui Revolusi Mesir 1952 di bawah pimpinan Muhammad Naguib dan Gamal Abdel Naser yang masing-masing kemudiannya menjadi Presiden Pertama dan Kedua bagi Republik Arab Mesir.

Raja Farouk berwasiat agar jasadnya dimakamkan di masjid ini, namun dihalang oleh kerajaan Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdel Naser.  Baginda dikebumikan di Rom, Itali, di bandar baginda mangkat. Beberapa tempoh selepas itu jenazah dibenarkan untuk dibawa pulang ke Mesir, tetapi bukan untuk dikebumikan di masjid ini. Pada zaman Anwar Sadat, jenazah dipindahkan ke masjid ini.

Juga dikebumikan di masjid ini ialah Shah Iran yang terakhir, Shah Mohamad Reza Pahlevi yang telah digulingkan melalui Revolusi Iran 1979. Sebelum meninggal dunia di Mesir beliau hidup dalam buangan di beberapa negara seperti Maghribi, Bahamas, Mexiko, Amerika Syarikat dan Panama.





















Masjid Sultan Hasan yang terletak bersebelahan Masjid Ar-Rifai turut dikenali sebagai Masjid Empat Mazhab, kerana terdapat empat ruangan bilik berbeza di dalam kawasan kompleks masjid ini, yang dijadikan pusat pengajian untuk keempat-empat mazhab fekah.

Muzium Qibti (Coptic Museum) menjadi destinasi seterusnya. Masyarakat Qibti ialah masyarakat beragama Kristian di Mesir yang bilangannya mewakili lebih kurang 10% daripada keseluruhan populasi Mesir. Kawasan muzium ini kelihatan agak dikawal ketat oleh pasukan keselamatan. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga.



Terletak di sebelah muzium ini ialah Gereja Tergantung Kaherah yang merupakan gereja tertua di Mesir.























Perjalanan diteruskan ke Masjid Imam As Shafii, di mana terletaknya Makam Imam Agung Mazhab Shafii, Imam Muhammad Bin Idris As Shafii. Makam hampir ditutup ketika kami sampai. Hanya sempat seketika sahaja di situ.

























Seluruh perjalanan setakat ini hanya melibatkan bandar Kaherah. Jadi kami bergerak ke bandar Iskandariah (Alexandria) kira-kira 200 km dari Kaherah. Ia terletak di tepi Laut Mediterranean. Tidak banyak yang dapat kami lawati kerana kesuntukan masa. Antara tempat menarik di sini ialah Kubu Qaitbay, Makam Imam Al Busiri yang merupakan pengarang Qasidah Burdah dan bersiar-siar di tepian laut.
























مولاي يا صل وسلم دائما ابدا * على حبيبك خير الخلق كلهم
-Petikan Qasidah Burdah Imam Al-Busiri





















Sejurus selepas gambar bersama kereta api ini diambil, kami didatangi seorang polis yang mengambil pasport dan kamera kami. Kami dibawa berjumpa pegawai polis yang kemudiannya memeriksa gambar-gambar yang kami tangkap. Setelah beberapa ketika kami dilepaskan. Mujurlah kami tidak melawat makam Imam Hasan Al-Banna malam sebelumnya. Jika tidak, urusan mungkin akan menjadi sedikit sukar.

Akhirnya tiba masanya untuk melawat Masjid Al-Azhar. Digelar sebagai Kiblat Ilmu Islam. Selepas solat Asar, kami sempat menyertai pengajian Kitab Bulugh Al-Maram karangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani.

























Terletak tidak jauh dari masjid ini ialah Masjid Hussain. Dikatakan di dalamnya terdapat Makan Sayyidina Hussain, Cucu Nabi Muhammad ﷺ.  Apabila disebut makam, ia tidak semestinya merupakan tempat persemadian seseorang tokoh itu. Ia boleh jadi tempat seseorang tokoh pernah berada dan sebagainya. Contoh yang terkenal ialah Makam Ibrahim yang terletak di sisi Kaabah. Dalam keadaan Sayyidina Hussain pula, ada sekurang-kurangnya dua tempat lain di dunia yang disebut sebagai Makam Hussain. Satu di Karbala, Iraq dan satu lagi di Damsyiq, Syria.



Turut dilawati ialah Masjid dan Makam Sayyidah Zaynab, cucu Nabi Muhammad
ﷺ.
 
 

Sebagai penutup, Muzium Mesir dilawati. Di sini disimpan banyak artifak sejarah terkenal seperti Topeng Emas Firaun Tut Ankh Amun serta harta-hartanya yang lain dan Mumia Firaun Ramses II.
 


Tidak jauh dari situ ialah Dataran Tahrir yang merupakan titik penting Revolusi Mesir 2011. Banyak kereta perisai berbaris, bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ambil gambar curi-curi kerana sebelum itu kami telah ditegah ketika cuba mengambil gambar.

Sungai Nil. Sungai ini mengalir merentasi 11 negara di benua Afrika. Di hujung dapat dilihat Menara Kaherah.

Alhamdulillah perjalanan 7 hari 7 malam berlangsung dengan lancar. Ucapan penghargaan istimewa buat kenalan-kenalan baru dan lama di Mesir yang sudi menerima kehadiran ini. 

Biberach an der Riss, Jerman.
11 Mac 2015 0204
"Zaman Pemerintahan Al-Sisi"

Terkini

Ulasan Buku 2019

Di penghujung tahun 2019 ini, saya senaraikan beberapa buah buku yang sempat dibaca sepanjang tahun ini, sebagai nota peribadi dan cadang...