Halaman

Sep 22, 2017

Panduan Asas Berada di Eropah (Terutamanya Jerman)


Sebagai individu di sebalik tabir syamirulm (YouTube) dan syamirulm di YouTube (Facebook), saya kerap dihujani pelbagai soalan berkenaan Jerman dan Eropah. Mereka bertanya atas pelbagai sebab. Ada yang ingin melancong ke sini. Ada yang perlu datang selama beberapa hari atau minggu atas urusan kerja dan sebagainya. Yang bertanya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada yang pernah menjejakkan kaki ke luar negara dan ada juga yang bakal keluar buat pertama kalinya.

Atas sebab ini, saya kumpulkan di sini satu rumusan berdasarkan soalan-soalan yang pernah ditanya. Jawapan yang saya berikan mungkin sesuai untuk dilakukan di sesebuah negara tetapi kurang sesuai pula untuk negara lain, walaupun negara-negara tersebut sama-sama terletak dalam Eropah. Dalam satu negara yang sama sekalipun, keadaan di bandar-bandar besar boleh berbeza dengan pekan-pekan kecil. Justeru, tulisan ini perlu dijadikan hanya sebagai panduan umum dan perlu disesuaikan berdasarkan tempat dan masa yang berkaitan. Saya menulis berdasarkan konteks Jerman dan mungkin juga terpakai untuk negara-negara penutur Bahasa Jerman yang lain seperti Austria, Utara Switzerland dan Liechtenstein.

Jerman, Austria, Switzerland, Liechtenstein

Pengangkutan Antarabandar


Pengangkutan antarabandar menghubungkan satu bandar dengan bandar yang lain. Tiga jenis pengangkutan kerap digunakan iaitu keretapi, bas, kereta sewa dan perkongsian kereta.

1. Keretapi

Keretapi hampir keseluruhannya di bawah pengurusan syarikat Deutsche Bahn DB. Keretapi ini boleh dibahagi kepada dua jenis pula iaitu jarak jauh (Fernverkehr seperti ICE, IC dan EC) dan jarak dekat (Nahverkehr seperti IRE, RE dan RB). Nama-nama ini mungkin mengelirukan, tetapi konsep mudahnya, keretapi jarak jauh lebih laju serta lebih mahal, tetapi hanya berhenti di stesen-stesen besar, justeru memendekkan masa perjalanan. Keretapi jarak dekat pula lebih murah tetapi masa perjalanannya lama kerana kelajuan yang rendah dan bilangan stesen hentian yang banyak. Maklum bahawa dengan keretapi jarak dekat, anda boleh juga pergi ke stesen-stesen yang jauh, tetapi perlu bertukar-tukar keretapi dan perjalanan akan memakan masa. Semakan jadual perjalanan serta pembelian tiket boleh dibuat dalam talian, di kaunter dalam stesen keretapi atau mesin-mesin automatik.

Mesin Tiket dalam Stesen Keretapi

Kalau boleh, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada kaunter tiket tentang tiket apa yang terbaik untuk dibeli, kerana terdapat pelbagai jenis tiket khas yang lebih murah berbanding membeli tiket langsung dari destinasi A ke B. Misalnya tiket-tiket negeri (Baden-Württemberg-Ticket, Bayern-Ticket), tiket-tiket daerah (Allgäu-Ticket, MetropolTicket), tiket hujung minggu (Schönes-Wochenende-Ticket) dan lain-lain.

Syarikat-syarikat yang berkaitan ialah:
DB Jerman: https://www.bahn.com/en/view/index.shtml
ÖBB Austria: http://www.oebb.at/en/
SBB Switzerland: https://www.sbb.ch/en/home.html

Satu peringatan penting ketika menaiki keretapi, sayangnya di Jerman ini banyak pengumuman penting termasuk di stesen-stesen besar hanya dibuat dalam Bahasa Jerman. Pengumuman ini termasuklah pengumuman pembatalan tren, penukaran platform dan pemisahan gerabak keretapi. Pastikan anda mendapatkan kepastian daripada orang awam ataupun dengan pegawai dalam keretapi itu sendiri supaya anda berada di dalam keretapi dan gerabak yang betul.

Contoh keretapi jarak dekat Nahverkehr (biasa berwarna merah) dan jarak jauh Fernverkehr (biasa berwarna putih)

Secara asasnya keretapi ini menepati masa, tetapi kes-kes kelewatan bukanlah sesuatu yang jarang. Kelewatan boleh berlaku sependek 5 minit dan boleh berlarutan hingga berjam-jam, terutamanya yang disebabkan oleh kemalangan dan mogok pekerja. Jika masa sangat penting untuk anda seperti dalam perjalanan ke lapangan terbang, pastikan anda memilih sambungan keretapi yang bersesuaian dari segi masa.


2. Bas

Konsep pengangkutan antarabandar yang terbaharu di Jerman ialah bas. Konsep bas tidak rumit, yang mana ia hampir sama dengan negara kita. Tiket boleh dibeli dalam talian melalui laman web syarikat bas tersebut. Saya tidak pasti sama ada wujud kaunter jualan tiket di stesen bas atau tidak. Bas biasanya lebih murah berbanding keretapi tetapi keadaannya sedikit kurang selesa kerana saiznya yang kecil.

Syarikat-syarikat yang berkaitan:
Flixbus: https://www.flixbus.com
GoEuro: https://www.goeuro.com
Eurolines: https://www.eurolines.de/en/home/


3. Kereta Sewa

Di bandar-bandar dan pekan-pekan, biasanya ada premis yang menawarkan khidmat sewa kereta. Biasanya premis ini boleh ditemui berhampiran atau dalam stesen keretapi. Pertanyaan tentang urusan rasmi seperti pengesahan lesen dan sebagainya perlu dirujuk terus kepada syarikat-syarikat tersebut.

Syarikat-syarikat yang berkaitan:
Europcar: https://www.europcar.com/
Sixt: https://www.sixt.com/
Hertz: https://www.hertz.de/rentacar/reservation/
Avis: https://www.avis.de/


4. Perkongsian Kereta

Salah satu konsep yang menarik ialah perkongsian kereta. Saya sendiri pernah menggunakannya beberapa kali di Jerman, Perancis dan Switzerland. Konsepnya ialah kita muat turun app perkongsian kereta tersebut lalu masukkan tempat bertolak, destinasi dan tarikh. Akan terpapar senarai orang awam yang kebetulan memandu dalam laluan yang sama serta sudi berkongsi kenderaan. Ada bayaran dikenakan. Konsep ini mungkin sukar kerana kekurangan tawaran serta faktor kelancaran (seperti pembatalan perjalanan) dan keselamatan. Namun ia boleh jadi pengalaman yang menarik jika berlangsung dengan baik.

Syarikat-syarikat yang berkaitan:
BlaBlaCar: https://www.blablacar.de


Satu laman web menarik untuk menyemak harga pelbagai kenderaan awam ialah FromAToB: https://www.fromatob.com/



5. Lapangan terbang

Anda mungkin menggunakan kapal terbang untuk masuk ke Jerman dari negara-negara lain. Pastikan anda tidak tersilap ketika memilih lapangan terbang. Dua contoh yang terkenal ialah Frankfurt dan Munich. Lapangan Terbang Frankfurt (FRA) terletak hampir dengan bandar Frankfurt itu sendiri, iaitu sekitar 11 kilometer. Lapangan Terbang (HHN) pula, meskipun mengandungi nama Frankfurt, terletak 125 kilometer dari bandar Frankfurt. Lapangan Terbang Munich (MUC) terletak sekitar 35 kilometer dari bandar Munich, manakala Lapangan Terbang Munich-West pula terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar Munich.

Pengangkutan Intrabandar


Apabila telah sampai di satu-satu bandar, kita tentunya perlu bergerak di dalam kawasan bandar tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan pengangkutan intrabandar. Jenis-jenis kenderaan yang berkaitan ialah bas, tram (Straßenbahn), keretapi U-Bahn (seakan-akan LRT dan MRT), keretapi S-Bahn dan teksi.

Contoh tram (Strassenbahn) yang penting untuk pengangkutan intrabandar.

Kenderaan-kenderaan di atas (kecuali teksi) biasanya bersepadu dan diuruskan oleh satu pihak yang sama atau beberapa pihak yang bekerjasama. Oleh itu, anda mungkin hanya perlu membeli satu tiket sahaja dan boleh menggunakan semua kenderaan tersebut. Sistem tiket boleh berbeza-beza dari bandar ke bandar. Oleh itu, sila dapatkan nasihat di kaunter tiket yang biasanya ada di stesen-stesen besar keretapi. Namun ada konsep asas yang boleh dibicarakan, iaitu jenis-jenis tiket:

Einzelfahrschein:
Tiket begini digunakan sekali sahaja antara dua hentian, iaitu tiket biasa. Jika anda ingin menggunakan kenderaan awam beberapa kali, tiket-tiket di bawah mungkin berkaitan.

Tagesticket-Einzel:
Tiket begini boleh digunakan seharian dalam kawasan yang berkaitan tanpa mengira bilangan perjalanan. Namun untuk perseorangan.

Tagesticket-Gruppe:
Tiket begini boleh digunakan seharian dalam kawasan yang ditetapkan tanpa mengira bilangan perjalanan. Untuk perjalanan berkumpulan.

Penginapan


1. Hotel dan Hostel

Konsep ini mungkin sama saja di semua negara. Tempahan boleh dibuat antaranya melalui laman-laman web seperti:

Booking.com: https://www.booking.com
HostelWorld: http://www.hostelworld.com
Hostels.com: http://www.hostels.com


2. Airbnb

Ini adalah konsep baharu, di mana pemilik rumah biasa menawarkan rumah mereka sendiri untuk ditumpangkan dengan bayaran tertentu. Carian dan tempahan boleh dibuat dalam laman web mereka di https://www.airbnb.de

Pengalaman bersarapan gaya asli penduduk tempatan di rumah Airbnb di Switzerland

3. Couchsurfing

Ini juga adalah konsep baharu, di mana orang awam menawarkan tempat tinggal. Untuk maklumat lanjut sila rujuk laman web mereka https://www.couchsurfing.com/



Makanan


Makanan adalah antara isu utama yang kerap ditanya atas dua sebab, iaitu ingin mencari makanan halal atau ingin mencari makanan yang bercitarasakan tempat asal kita.


1. Kedai Makan

Berkenaan halal, di bandar-bandar besar dan utama, ini sepatutnya tidak menjadi masalah besar. Kedai-kedai makan halal daripada pelbagai latar belakang sangat mudah ditemui, seperti kedai hidangan Turki, Arab, India-Pakistan, Barat dan makanan segera. Jika anda terjumpa kedai kebab yang tentunya bertebaran di pusat-pusat bandar, kebarangkalian kedai tersebut menawarkan makanan halal ialah sangat tinggi. Ada kedai yang terang-terang menulis Halal di luar kedai mereka, namun biasa juga kedai yang tidak memaparkannya dengan jelas. Sebagai pelancong luar atau penetap sementara, tidak menjadi kesalahan untuk bertanya kepada penjual tersebut. Selain kebab, mereka juga biasanya menawarkan nasi berlauk, pizza dan beberapa jenis makanan berasaskan roti yang lain.

Rupa tipikal kedai kebab Turki

Anda juga boleh mencari kedai halal dalam laman web seperti Zabihah.com, namun berdasarkan pengalaman saya, senarai kedai-kedai adalah sangat terhad terutamanya di bandar-bandar sederhana besar atau pekan-pekan kecil. Carian biasa di Google juga boleh membantu.

Selain itu, anda boleh juga mengunjungi kedai-kedai Asia seperti kedai Cina, Thai dan Vietnam, yang seperti kedai-kedai kebab, turut bertebaran di pusat-pusat bandar. Biasanya mereka tidak menawarkan hidangan daging yang halal, namun anda ada pilihan untuk menempah hidangan vegetarian atau makanan laut. Di sini anda boleh nikmati misalnya pelbagai hidangan mi dan nasi berlauk makanan laut. Ada juga kedai-kedai yang menawarkan makanan laut seperti rangkaian kedai Nordsee.

Tidak dilupakan, ada beberapa kedai makan Malaysia di Jerman ini, walaupun mungkin tidak sebanyak di negara penutur Bahasa Inggeris yang lain. Antara yang dapat saya senaraikan:

Seri Melayu - Berlin
Pandan - Frankfurt
Selera Malaysia - Frankfurt
Nur Kuala Lumpur - Frankfurt
Champor - Munich

Jika anda ada maklumat tambahan, mohon kongsikan juga ya.


2. Barang Runcit

Bagi mereka yang menginap untuk beberapa minggu atau bulan, mungkin anda ingin memasak. Ayam daging halal boleh didapati di pasar mini Turki dan Arab. Biasanya ia berdekatan dengan masjid. Selain ayam daging, barangan dapur yang lain boleh didapati di sini. Boleh rujuk komuniti Muslim tempatan untuk maklumat lanjut. Selain itu, beberapa pasaraya biasa turut menjual ayam halal. Boleh rujuk sendiri pada bungkusannya. Jika anda bertanya kepada pekerja pasaraya, boleh jadi saja dia sendiri tidak tahu apa itu halal. Barangan keasiaan seperti rempah ratus boleh didapati di pasar-pasar mini Asia.


Di pasaraya biasanya dijual pelbagai jenis barang runcit dengan jenama generik, misalnya jenama Ja! di Pasaraya REWE dan K-Classic di Pasaraya Kaufland. Barangan ini biasanya dijual dengan harga yang jauh lebih murah, namun tetap memadai dari segi kualiti.

Maklum juga bahawa barang runcit di Switzerland lebih mahal, sekitar dua atau tiga kali ganda di Jerman.


3. Barang Rawak

Ada juga yang bertanya, coklat atau snek apa yang boleh dimakan. Pada saya sukar untuk membuat senarai begitu. Seperti anda mungkin sedia maklum, di sini tidak digunakan tanda halal secara meluas seperti di negara kita. Boleh dikatakan 80% daripada barangan yang saya beli seharian tiada tanda halal pun. Kaedahnya di sini ialah, semua benda yang ditemui adalah halal, kecuali ada tanda-tanda keharamannya. Misalnya saya ingin beli coklat, rujuk kandungannya. Antara yang boleh menyebabkan coklat menjadi tidak halal ialah keberadaan alkohol. Snek seperti keropok dan gula-gula pula, yang boleh mengganggu kehalalan ialah unsur haiwan seperti serbuk daging (Schinkenpulver) dan gelatin khinzir (Schweinegelatine). Ini ialah topik yang besar dan rumit untuk disatukan dalam satu artikel ringkas. Menggunakan kaedah di atas serta dipimpin dengan pengetahuan am dan akal budi (common sense) akan sangat membantu.

Keagamaan


Boleh dikatakan terdapat banyak masjid di bandar-bandar besar dan juga pekan-pekan kecil, walaupun tidak dinafikan ada juga tempat yang tiada masjid. Seperti biasa, carian Google sangat membantu. Boleh gunakan kata kunci seperti Moschee (masjid dalam bahasa Jerman) dan Camii (masjid dalam bahasa Turki). Misalnya 'Moschee in Berlin'. Terdapat satu laman web carian masjid yang baik iaitu MoscheeSuche.de. Masukkan nama tempat anda dan senarai alamat akan terpapar.


Jika anda tiada sambungan internet, anda boleh ke kedai halal yang terdekat seperti kedai kebab dan dapatkan maklumat tentang masjid daripada mereka. Boleh jadi juga kedai yang anda tanya itu turut menyediakan tempat solat. Lapangan terbang juga biasanya dilengkapi bilik ibadat, sama ada surau khas ataupun bilik umum untuk semua agama.

Berkenaan waktu solat harian pula, anda boleh menemui pelbagai maklumat berbeza daripada pelbagai sumber. Rata-rata pelancong luar menggunakan aplikasi umum seperti IslamicFinder atau MuslimPro untuk tujuan ini. Saya lebih selesa menggunakan waktu solat yang selari dengan masjid tempatan, terutamanya jika anda akan tinggal di sini dalam tempoh yang lebih lama. Oleh kerana sebahagian (atau kebanyakan) masjid di sini adalah di bawah pengurusan badan dan persatuan tertentu, mereka juga menawarkan maklumat waktu solat. Misalnya boleh rujuk Namaz Vakitleri untuk masjid kelolaan DITIB atau Gebetskalender untuk masjid kelolaan IGMG.

Surau (atas kanan dan kiri belakang tiang) di Lapangan Terbang Munich (MUC)

Bahasa

Di bandar-bandar besar, anda sepatutnya tiada masalah untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Namun, kekurangan papan tanda dalam Bahasa Inggeris (termasuk tanda lelaki/perempuan pada tandas) yang juga berlaku di bandar-bandar besar mungkin boleh mengundang sedikit kesukaran. Sangat penting untuk anda cuba berkomunikasi, terutamanya dengan orang-orang muda.


Mungkin anda perlu menyebut beberapa nama dalam Bahasa Jerman seperti nama jalan, nama hotel atau nama orang sepanjang keberadaan anda di sini. Tidak perlu risau kerana bahasa ini senang dibaca. Kaedah ringkasnya, bacalah seperti Bahasa Melayu sebaku yang mungkin. Contohnya Frankfurt bunyinya Frankfurt, bukannya frengfert. Sebutan Jerman umumnya tersangatlah baku, hatta London pun disebut London, bukannya landen. Namun sebutan baku ini tidak terpakai untuk semua perkataan, tetapi boleh dijadikan panduan asas. Cuma ada satu huruf yang ganjil dalam tulisan Jerman iaitu huruf ß. Ini hanyalah dua huruf s yang digabungkan, tiada bunyi istimewa, misalnya Straße ialah Strasse. Huruf vokal berumlaut (ÄÖÜ) pula memang ada besar dengan huruf vokal biasa, tetapi secara asas, anggaplah titik itu sebagai pengganti huruf E selepas huruf vokal tersebut. Contohnya Düsseldorf disebut Duesseldorf.

Tatkala berurusan dengan seseorang seperti di kaunter bayaran, digalakkan memberi salam "Hallo!" dan mengucapkan "Tschüß" (sebut cus) apabila berpisah.


Tips Rawak


Internet: Untuk memudahkan perjalanan anda, amat penting untuk ada ada sambungan internet. Jika tiada, anda boleh ke stesen-stesen keretapi besar atau kedai-kedai makan atau kopi untuk menggunakan WiFi mereka.

Jadual kenderaan awam: Antara app yang paling penting ialah DB Navigator. App ini asasnya memaparkan jadual keretapi, tetapi ia juga turut meliputi pengangkutan awam yang lain. Dengannya anda hanya perlu memasukkan dua destinasi seperti nama bangunan atau alamat. Sambungan internet diperlukan.

Peta: Saya sarankan anda guna app Maps.Me. Ia boleh digunakan secara offline. Sebelum itu, anda perlu memuat turun peta bandar yang berkaitan. Khabarnya Google Maps juga kini menawarkan khidmat peta offline yang turut membolehkan fungsi navigasi.

Keselamatan: Bandar-bandar di Jerman biasanya selamat, namun berjaga-jaga dengan scam di lubuk-lubuk pelancong serta penyeluk saku. Jenayah juga, walaupun mungkin jarang, tetapi tetap boleh berlaku.

Harga makanan: Saya lampirkan menu di sebuah kedai kebab yang tipikal untuk anda menganggar harga makanan.

Contoh harga tipikal makanan. Boleh berbeza dari bandar ke bandar.

Solat: Andai anda terpaksa solat di tempat awam, carilah tempat yang sesuai yang tidak mengganggu perjalanan awam. Ada yang beri tips solat dalam bilik persalinan (fitting room) walaupun saya sendiri tidak pernah lakukannya kecuali sekali. Maklum juga bahawa mengangkat kaki ke dalam sinki tandas awam merupakan satu tindakan yang sangat tidak sesuai dengan budaya tempatan. Salah satu tips ialah berwuduk seperti biasa di sinki kecuali membasuh kaki. Kaki dibasuh dengan air daripada botol bertadahkan mangkuk tandas di dalam ruang tertutup. Selepas wuduk termasuklah di masjid, menjadi budaya setempat untuk mengelap badan, kerana masuk ke dalam masjid dalam keadaan basah adalah tidak disukai. Hatta ada masjid yang melarang anda masuk ke dalam dewan solat tanpa memakai stokin. Ini adalah untuk menjaga karpet dan sebagainya.

Notis di sebuah masjid di selatan Jerman

Outlet: Salah satu konsep beli-belah yang sangat terkenal dalam kalangan pengunjung di sini ialah outlet, misalnya di Metzingen (berhampiran Stuttgart) dan Ingolstadt (berhampiran Munich). Di sini dijual pakaian, perkakas dan makanan berjenama terkenal pada harga yang lebih murah. Rujuk laman-laman web masing-masing untuk senarai kedai.

Tandas: Tandas di sini ialah tandas kering, di mana tiada paip dalam tandas dan lantainya kering. Jika tandas kering agak sukar untuk anda, tandas masjid biasanya dipasang paip, walaupun kadang-kala sistem paip tersebut juga agak sukar untuk digunakan. Begitu juga dengan tandas kedai-kedai makan yang menyediakan makanan halal, walaupun mungkin tidak semuanya dilengkapi dengan paip. Mungkin juga anda akan temui sejenis penyiram pokok kecil di sisi mangkuk tandas. Penyiram itu boleh digunakan untuk tujuan bersuci.

Cuaca dan musim: Pengalaman anda di sini akan kuat dipengaruhi dengan cuaca dan musim semasa. Misalnya, jika anda melawat sebuah tasik pada musim panas, daun akan berwarna hijau dan suhu serta kecerahan langit akan lebih selesa. Jika datang pada musim luruh, daun sudah kuning dan mula gugur, suhu juga boleh jadi agak sejuk. Pada musim sejuk pula, pokok hanya tinggal ranting, tetapi diselaputi pula dengan salji. Kepanjangan waktu siang dan malam pula akan berubah dengan sangat drastik antara dua musim. Rancang masa perjalanan anda dengan baik berdasarkan faktor ini. Rujuk pada Weather.com atau AccuWeather untuk mengetahui cuaca semasa di tempat tersebut.

Restoran: Di sebahagian restoran, selepas makan, anda perlu mengangkat dan menghantar sendiri pinggan mangkuk yang digunakan ke kaunter. Untuk mengenalpasti restoran sebegini, kaedahnya adalah dengan melihat pada cara menghidangkan makanan. Jika anda perlu ambil makanan dari kaunter, maka selepas makan anda perlu menghantarnya semula. Jika makanan dibawa ke meja anda, maka tidak perlu menghantarnya semula. Jika anda berada dalam keadaan kedua, maka pastikan pinggan mangkuk yang anda tinggalkan itu dalam keadaan yang tidak bersepah.

Sensitiviti: Elakkan saja-saja menyebut istilah-istilah atau membuat gestur-gestur Kenazian, boleh saja anda ditangkap.

Sampah: Sebelum membuang sampah, pastikan anda berada di tong sampah yang betul. Jika label pada tong sampah tersebut tidak membantu, lihat pada kandungan di dalam tong sampah tersebut. Biasanya ia dibahagikan kepada kertas, bungkusan dan sampah-sampah lain. Jika ada gambar anjing pada tong sampah, ia adalah tong yang dikhaskan untuk sisa najis haiwan yang dibawa bersiar-siar.

Gelbe Sack untuk bungkusan, Papier untuk kertas dan Restmüll untuk sampah-sampah lain.

Melintas: Lintas di tempat melintas dan patuhi lampu merah pejalan kaki. Ada keadaan di mana sekali pandang semua kereta sedang berhenti, tetapi ketika anda melintas, tiba-tiba ada kenderaan bergerak laju dari jauh. Sistem lampu isyarat di sini agak berbeza, terutamanya pada lintasan besar. Ada juga lintasan zebra yang tidak dilengkapi dengan lampu isyarat. Di lintasan seperti ini, anda ada keutamaan untuk melintas dan kenderaan lain akan berhenti untuk anda. Namun tetaplah berhati-hati, boleh jadi pemandu tidak nampak anda.

Ahad: Kedai, pasaraya dan pelbagai premis lain tutup pada hari Ahad. Restoran ada yang dibuka. Andai anda sangat perlukan sesuatu pada hari Ahad, boleh cuba dapatkan di kedai minyak. Namun harganya mungkin berganda-ganda. Oleh itu, manfaatkan hari Ahad untuk melawat tempat-tempat alam semulajadi seperti bukit, taman dan tasik, dan bukannya melawat bandar-bandar.

Air mineral: Jika anda beli air mineral, pastikan anda memilih dengan betul kerana sebahagiannya adalah bergas. Perhatikan pada label "Still" untuk tanpa gas, "Medium" dan "Classic" untuk ada gas.

Medium dan Classic. Still tiada dalam gambar.

Air paip: Air paip secara umumnya boleh diminum begitu saja, termasuklah di tandas-tandas awam. Kepala paip beasanya boleh diputar untuk mengeluarkan air panas, sejuk atau campuran keduanya. Untuk diminum secara langsung, gunakan air sejuk. Air panas dari paip biasanya tidak sesuai digunakan untuk penyediaan makanan seperti membancuh minuman. Untuk tujuan ini, panaskan air sejuk daripada paip tersebut seperti biasa.

Kamus kecil:

Hello! - Hallo! [halo]
Selamat tinggal - Tschüss [cus]
Terina kasih - Danke [dang-ke]
Sama-sama - Bitte [bitte]
Stesen keretapi - Bahnhof/Hauptbahnhof [haup-bahn-hof]
Platform - Gleis [glais]
Tandas - Toilette [toi-let-le]
Maafkan saya (excuse me) - Entschuldigung [ent-shul-di-gung]
Tiket - Ticket
Masjid - Moschee [mo-shey]

Satu - Eins [ains]
Dua - Zwei [zuai]
Tiga - Drei [drai]
Empat - Vier [fiyer]
Lima - Fünf [funf]

Untuk maklumat-maklumat lain, jemput bertandang ke saluran YouTube kami syamirulm (YouTube) dan syamirulm di YouTube (Facebook). Selamat datang ke Jerman/Eropah! Herzlich Willkommen!

22 September 2017
Biberach an der Riss,
Baden-Württemberg,
Jerman.

Catatan: Sebarang maklumat di atas boleh terdedah kepada kesilapan. Pembaca digalakkan membuat semakan untuk mengelakkan perkara berbangkit.

Terkini

Ulasan Buku 2019

Di penghujung tahun 2019 ini, saya senaraikan beberapa buah buku yang sempat dibaca sepanjang tahun ini, sebagai nota peribadi dan cadang...